Kamis, 16 April 2009

Kehilangan


Beberapa orang teman saya pernah bertanya tentang mengapa menulis cerpen ‘Kehilangan’ yang tersiar di Dewan Sastera pada bulan Februari lalu. Sebenarnya,
ketika saya bersara wajib pada 26 Ogos 2006 lalu, saya terasa kehilangan sesuatu. Suasana pagi di Institut Perguruan (IPTHO), suasana di bilik kuliah, di pejabat, di kafe semuanya lenyap begitu sahaja.

Saya tertarik untuk menyentuh isu ‘kehilangan’ ini kerana setiap hari kita sentiasa mengalaminya. Sekurang-kurangnya bila detik berlalu, kita akan kehilangan masa, sekaligus kita akan kehilangan umur hidup kita. Kita akan bertambah dewasa malah melangkah ke alam tua. Kehilangan Nurin Jazlan, kehilangan Sharline, kehilangan penulis Hazrie Othman dan perginya teman-teman penulis satu demi satu- baru-baru ini Shahrom Hussein dan Ungku Zaman Tahir adalah juga kehilangan yang akan sentiasa berlaku.

Ketika suasana ‘kehilangan’ inilah saya sempat membongkar kembali file-file lama yang mengandung tulisan berupa cerpen dan sajak. Ada yang belum pernah disiarkan. Secara kebetulan pula saya terjumpa sebuah cerpen yang berjudul, ‘kehilangan’ yang saya cipta beberapa tahun yang lalu, tetapi masih belum siap. Sebenarnya masih ada beberapa buah cerpen saya yang masih terperuk dalam file, yang belum saya gilap.

Cerpen itu saya baca kembali, ternyata sebuah cerpen berdasarkan kisah benar, yang pernah berlaku. Bagaimana sebuah rumah tangga yang dibina tanpa asas kasih sayang, akhirnya akan musnah. Begitulah kisah sebenar itu saya olah kembali demikian rupa hingga menjadikan sebuah kisah baru yang lain dari kisah benar yang pernah berlaku. Saya cuma mengambil inti daripada kisah benar itu, iaitu bagaimana seorang suami yang minat berniaga, hanya memikirkan perniagaannya sahaja. Tidak pernah peduli hati isterinya yang perlukan belaian dan perhatian terhadap rumah tangga. Hingga akhirnya si isteri lari meninggalkan suaminya.

Saya percaya kisah ini banyak berlaku di kalangan kita. Puncanya macam-macam. Mungkin tidak ada persefahaman, mungkin ada orang ketiga, mungkin juga campur tangan keluarga. Semuanya saya simpulkan sebagai suatu ‘kehilangan’ dalam kehidupan kita berkeluarga. Kehilangan itulah yang mesti dicari oleh pasangan dalam sesebuah rumah tangga.

Sebuah kisah biasa, seperti kisah sebuah rumah tangga yang mengalami masalah sebenarnya sudah klise. Tema ini sudah banyak kali disentuh oleh kebanyakan penulis. Saya bisa terperangkap dengan permasaalahan yang sama itu, dan sudah tentu cerpen yang terhasil adalah cerpen yang biasa-biasa saja.
Sebenarnya apa yang lebih menakutkan ialah orang Melayu akan kehilangan bahasanya.

4 komentar:

Zulaiha Paikon mengatakan...

Baru sehari tak buka blog ayahanda, sudah banyak maklumat baru di dalamnya. Tahniah! Saya akan baca cerpen bertajuk "kehilangan" tu!
Di perkampungan penulis semalam, saya sempat menulis cerpen. Temanya kehilangan juga, tetapi ang hilang ialah mutiara. Ketika saya ke Sabah bulan Mac lalu, banyak peristiwa menarik saya lalui di sana. Antaranya ialah kunjungan ke Pasar Filipina yang banyak mutiara tu. Di sebaliknya, ada peristiwa menarik yang saya adun jadikan cerita dalam cerpen tersebut.Saya nak e-mel cerpen tu, dan minta ayahanda bedah. Boleh tak?

Melihat Kesunyataan mengatakan...

Zu,
Boleh. Dengan besar hati dan dengan janji akan baca.

MARSLI N.O mengatakan...

Salam Sdr SMR: Saya datang membaca.

Melihat Kesunyataan mengatakan...

Sdr. Marsli,
Terima kasih kerana sudi membacanya.