Senin, 13 April 2009

Strategi Perang Tun Perak.


Seorang penulis yang bergiat cergas dalam Persatuan Penulis Johor (PPJ) ialah Drs. Ungku Mohd Zaman Tahir. Dalam penulisan beliau juga dikenali sebagai ‘Perantau Hiba’. Beliau dilahirkan di Pontian, Johor. Berkelulusan Sarjana Sastera (Doktorandus) dalam jurusan Bahasa dan Sastera Indonesia, Universiti Nasional Jakarta, Indonesia. Beliau banyak menghasilkan tulisan dalam bentuk esei sastera dan budaya. Beliau juga bergiat mengumpulkan cerita-cerita rakyat dan juga penulisan sejarah. Selain itu dalam bentuk kreatif banyak menghasilkan karya drama radio dan cerpen. Dua buah buku Kumpulan drama radio yang telah diterbitkan ialah, ‘Burung Kedidi Terbang Senja’ dan ‘Puntung Api Di Pohon Nyireh’. Beliau meninggal pada 16 November 2008 lalu.
Drama Pak Engku Mohd. Zaman yang menarik ialah ‘Puntung Api di pohon Nyirih’. Memaparkan sebuah episod sejarah Melaka, semasa keagungannya sehingga dapat mengalahkan tentera Siam yang sedang dalam perjalanan untuk menyerang Melaka. Drama ini memaparkan kehebatan ‘Tun Perak’ sebagai Bendahara Melaka yang menjadi perancang atau mastermind dalam percubaan mematahkan serangan Siam. Bendahara Tun Perak adalah seorang tokoh terkenal Melaka yang mempunyai strategi yang sangat menarik dalam peperangan. Dia bukan sahaja sebagai seorang pemimpin, penasihat malah adalah seorang pakar strategi perang Melayu yang sama taraf dengan ‘Tzun Zu’ pakar strategi perang negeri Cina.
Semasa Tun Perak membawa angkatan perangnya bersama-sama anak isteri ke Melaka dari Klang, ada orang mempersoalkannya. Kata Tun Perak ini adalah stateginya supaya tenteranya akan berperang bermati-matian. Bila mereka membawa anak dan isteri tentulah mereka akan berperang habis-habisan kerana mereka juga akan memikirkan keselamatan keluarga mereka sama.
Begitu juga bila Tun Perak mengerahkan tenteranya menunggui angkatan Siam di Batu Pahat, tidak menunggu sahaja di Melaka, Tun Perak mempunyai strategi sendiri dengan memasang ‘andang api’ di sepanjang pantai Batu Pahat pada waktu malam. Apabila tentera Siam melihat banyaknya lampu di Batu Pahat, menunjukkan betapa ramainya tentera Melaka. Jadi Siam akan berfikir sedangkan di Batu Pahat begitu ramai inikan pula di Melaka. Taktik ini menyebabkan tentera Siam mengurungkan hasrat untuk menyerang Melaka.
Satu lagi kisah yang menarik bagaimana Tun Perak dapat mengucar-ngacirkan tentera Siam yang sedang berlabuh, sebelum menyerang Melaka. Dengan hanya menghantar Hang Hisap yang gila-gila bahasa, dengan berperahu melanggar perahu-perahu tentera Siam hingga banyak yang terbalik. Kejadian ini menyebabkan tentera Siam berfikir, ini baru seorang tentera Melaka, bagaimana yang lain lagi yang menanti di darat. Akhirnya tentera Siam tidak jadi menyerang Melaka.
Inilah kehebatan Tun Perak! Seorang pakar strategis Melayu yang lahir pada zaman kegemilangan Melayu Melaka. Banyak lagi anekdot kehebatan Tun Perak sebagai pakar strategi yang perlu kita gali. Semuanya terdapat dalam buku Sejarah Melayu.
Sebenarnya strategi Tun Perak ini boleh juga digunakan dalam situasi apa juga, hatta dalam politik. Cuma kita kadang-kadang terlupa kehebatan kita sendiri, lalu mengagumi orang lain.

3 komentar:

MARSLI N.O mengatakan...

Sdr SMR: Salam. Baiknya juga Sdr menulis lebih lanjut mengenai sumbangan Pak Ungku ini di dalam media lain. Mungkin di majalah DB atau DS. Saya menanti.

Marsli N.O

Zulaiha Paikon mengatakan...

Ayahanda,
Kebijaksanaan Tun Perak sepertimana yang digambarkan dalam teks Sulaltus Salatin memang cukup menakjubkan, menggambarkan minda kreatif bangsa kita. Sayangnya, anak-anak didik saya di tingkatan 6 begitu payah untuk membaca teks tersebut. Buku rujukan sahaja dambaannya. Apa agaknya petua untuk menggalakkan mereka minat membaca teks asal?

Melihat Kesunyataan mengatakan...

Marsli N.O,
Terima kasih atas cadangan yang baik itu.

Zulaiha,
Mungkin idea Maskiah Mashrom (pensyarah ipti) boleh digunakan. Katanya kaitkan dengan isu semasa. Misalnya tentang isu strategi perang Tun Perak itu, boleh dikaitkan dengan strategi belajar misalnya atau strategi melawan kemiskinan.
Sesuai ke tidak terpulang kepada cara kita mengaitkannya dengan mata pelajaran tersebut.
Satu lagi Maskiah juga beri cadangan dengan cara melakonkan episode yang menarik dalam teks sastera itu.