Minggu, 21 Juni 2009

Orang-Orang Di Bendang

Orang-orang di bendang
tidak lagi menggenggam renggam
tidak lagi memukul-mukul padi
tidak lagi menampi-nampi rezeki
tidak lagi tercari-cari tuahnya
tidak lagi menangguk sukar

Orang-orang di bendang semakin bijak
menajak kemiskinan membajak keyakinan
membuang batas-batas percaya
menanam padi politik
menabur beras saham

Orang-orang di bendang
tidak lagi menabur benih malang
mereka menambat kerbau keluhan
melepaskan ikatan tradisi
ada padi ada pilihan di hujung musim

Orang-orang di bendang
mula bersuara lantang.


Shapiai Muhammad Ramly
Sri Wangsa, Batu Pahat, Johor.
Berita Harian Sabtu 20 Jun 2009.

3 komentar:

Azhar Salleh mengatakan...

Salam TUAN HAJI,
Di belakang rumah saya di kampung saujana bendang terbentang, namun sayangnya, semuanya diupah kepada orang Indonesia. Benarlah ungkapan Tuan Haji, orang-orang di bendang sudah gian bermain saham! Tahniah atas penyiaran puisi ini dan saya doakan Tuan Haji sentiasa prolifik untuk menulis kerana bicara Tuan Haji sentiasa dekat di hati golongan marhaen, seperti kami...

Melihat Kesunyataan mengatakan...

Azhar,
Saya juga orang bendang. Tapi orang bendang dulu. Sesekali bila saya balik kampung lihat orang bendang sudah berubah. Sudah ekstrem. Dah pandai main saham, dah pandai berpolitik...

Melihat Kesunyataan mengatakan...
Komentar ini telah dihapus oleh pengarang.