Selasa, 02 Juni 2009

Peribadi Rasulullah

Dr. Ratna Roshida Abdul Razak, pensyarah Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, USM memetik pendapat Za’ba (Dewan Masyarakat Jun 2009) yang menyatakan bahawa, ‘Antara masalah utama bangsa Melayu ialah suka mencampuradukkan ajaran Islam dengan kepercayaan lain seperti anamisme dan ajaran Hindu. Semua ini berpunca daripada kegagalan bangsa Melayu menghayati ajaran al-Quran dan Hadis. Islam yang difahami oleh bangsa Melayu tidak mencakupi aspek kesejahteraan hidup sama ada di dunia atau akhirat.

Khutbah jumaat lepas amat menarik kerana menyentuh tentang peribadi Nabi Muhammad saw. Saya percaya semua orang Islam mengakuinya, bahawa Nabi Muhammad mempunyai akhlak yang terpuji. Perlu dicontohi. Meskipun ada orang Barat yang melihat akhlak Nabi dari sudut lain, yang banyak memaparkan yang buruk-buruk sahaja.
Salah satu peristiwa yang menarik bila menyentuh tentang akhlak nabi itu, bila adanya peristiwa seorang Badwi yang kencing di masjid. Hal ini menimbulkan kemarahan orang Islam ketika itu. Tapi nabi sendiri dengan penuh berhemah, menasihati agar mereka bersabar, malah nabi sendiri mengambil air dan membersihkan tempat yang dicemari najis itu.

Banyak lagi peristiwa yang menggambarkan bagaimana nabi begitu penyabar orangnya. Ketika saya sendiri melawat Uhud, melihat sendiri kubur para syuhada termasuk kubur bapa saudara nabi, Syadina Hamzah, saya amat terharu dan sedih hingga mengalirkan air mata. Meski pun peristiwa itu sudah lama berlalu, tapi bagi saya tidak dapat menerima kematian begitu ramai muslimin yang berjuang untuk agama Allah ini.
Tidak hairanlah, apabila Nabi melihat jenazah bapa saudaranya Hamzah yang diperlakukan dengan kejam oleh Hendon, sampai Nabi berkata:
"Takkan pernah ada orang mengalami malapetaka seperti kau ini. Belum pernah aku menyaksikan suatu peristiwa yang begitu menimbulkan amarahku seperti kejadian ini." Lalu katanya lagi: "Demi Allah, kalau pada suatu ketika Tuhan memberikan
kemenangan kepada kami melawan mereka, niscaya akan kubalas mereka dengan cara yang belum pernah dilakukan oleh orang Arab."

Dalam kejadian inilah firman Tuhan turun.

"Dan kalau kamu mengadakan pembalasan, balaslah seperti yang mereka lakukan terhadap kamu. Tetapi kalau kamu tabah hati, itulah yang paling baik bagi mereka yang berhati tabah (sabar). Dan hendaklah kau tabahkan hatimu, dan ketabahan
hatimu itu hanyalah dengan berpegang kepada Tuhan. Jangan pula engkau bersedih hati terhadap mereka, jangan engkau bersesak dada menghadapi apa yang mereka rencanakan itu." (Qur'an, 16: 126 - 127)

Lalu Rasulullah memaafkan mereka, ditabahkannya hatinya dan ia melarang orang melakukan penganiayaan. Diselubunginya jenazah Hamzah itu dengan jubahnya lalu disembahyangkannya.

Ketika Nabi Muhammad berjaya kembali menguasai Makkah, adakah beliau mencari pembunuh bapa saudaranya untuk membalas dendam?

Ketika itu Nabi benar-benar berdiri di depan pintu Kaabah dan berkata kepada penduduk Mekkah:
"Orang-orang Quraisy. Menurut pendapat kamu, apa yang akan
kuperbuat terhadap kamu sekarang?"

"Yang baik-baik. Saudara yang pemurah, sepupu yang pemurah."
jawab mereka.

"Pergilah kamu sekalian. Kamu sekarang sudah bebas!" katanya.

Dengan ucapan itu maka kepada Quraisy dan seluruh penduduk Mekah ia telah memberikan pengampunan umum (amnesti).

Alangkah indahnya pengampunan itu dikala ia mampu! Alangkah besarnya jiwa ini, jiwa yang telah melampaui segala kebesaran, melampaui segala rasa dengki dan dendam di hati! Jiwa yang telah dapat menjauhi segala perasaan duniawi, telah mencapai
segala kemampuan insani! Itu orang-orang Quraisy, yang sudah dikenal betul oleh Muhammad, siapa-siapa mereka yang pernah berkomplot hendak membunuhnya, orang yang telah menganiayanya dan menganiaya sahabat-sahabatnya dahulu, orang yang memeranginya di Badar dan di Uhud, siapa yang dahulu mengepungnya dalam perang Khandaq? Dan orang yang telah menghasut orang-orang Arab semua supaya melawannya, dan siapa pula, kalau berhasil, yang akan membunuhnya, akan menghancurkannya. Mereka itu, orang-orang Quraisy itu sekarang dalam genggaman tangan Nabi Muhammad, berada di bawah telapak kakinya. Perintahnya akan segera dilaksanakan terhadap mereka itu.Nyawa mereka semua kini tergantung hanya di ujung bibirnya dan pada perintahnya kerana baginda kini punya balatentara yang bersenjatakan lengkap, yang akan dapat mengikis habis Mekah dengan seluruh penduduknya dalam sekejap mata. Tetapi baginda tidak bertindak kerana balas dendam.
Inilah sebahagian daripada ajaran Islam yang indah itu!
Mengapa kita terlalu sukar memahaminya. Ini juga adalah sebahagaian daripada cara kita berdakwah.

9 komentar:

Citra Wangsa mengatakan...

Tuan Haji,
Peribadi Rasulallah tiada tandingan dalam dunia ini. Baginda model terbaik. Jika Tuan Haji berkesempatan menghadiri Leadership ESQ Training yang dipimpin tokoh terkenal Dr. Ary Ginanjar, Tuan Haji pasti akan lebih menghayati keperibadian Rasullallah dan kecintaan terhadap Allah.

Melihat Kesunyataan mengatakan...

Zura,
Sekarang ini musim maulidur rasul. Saya ingin benar mendengar ceramah yang lebih fokus kepada peribadi Rasululah dalam konteks dakwah, seperti hidup berjiran, berpolitik, berperang dan hubungan antara kaum.
Apa yang saya dengar dalam ceramah biasanya menyentuh tentang peribadi Rasululah dalam beribadah sahaja.

ABDUL LATIP mengatakan...

Tuan Haji,

Peribadi Rasulullah sangat mulia. Banyak contohnya. Antaranya, baginda dikenali sebagai al Amin. Ramai penduduk Kota Mekah yang walaupun memusuhinya tetapi masih menaruh kepercayaan atas kejujurannya. Mereka menitipkan barang-barang berharga kepada Nabi Muhamad SAW apabila mereka berurusan diluar Kota Mekah.

Ketika beginda diperintahkan berhijrah ke Madinah, baginda wakilkan kepada Ali bin Abi Talib untuk menyerahkan barang2 itu kepada tuannya semula. Padahal jika mahu baginda boleh membawa lari barang2 berharga itu ke Madinah dan hidup senang di sana.

Baginda sering disakiti oleh seorang perempuan tua. Pada suatu hari dilihatnya perempuan tua itu tidak muncul lagi menyakitinya. Baginda hairan lalu datang ke rumah orang tua itu dilihatnya sedang sakit. Baginda menyuapkan makanan dan memberi air minuman kepada perempuan tua yang sedang sakit itu. Padahal perempuan itu yang sering menyakiti baginda.

Wahsyi yang membunuh Hamzah dalam perang Uhud datang menyerah diri. Baginda masih dapat memaafkannya. Begitu juga Hindun dan lain2.

Banyak lagi kisah keluhuran peribadi Rasulullah SAW.

Melihat Kesunyataan mengatakan...

Abdul Latip,
Cerita-cerita begini seharusnya diterapkan dalam kehidupan kita sebagai dakwah yang penting. Barulah orang lain menghormati Islam.
Elok juga tuan fikirkan untuk menceritakan kisah nabi ini dalam bentuk kreatif dan beri penekanan kepada peribadi baginda yang mulia ini.
Semoga menjadi petunjuk dan ikutan kita semua.

sahrunizam abdul talib mengatakan...
Komentar ini telah dihapus oleh pengarang.
sahrunizam abdul talib mengatakan...

Tuaa hanya Haji yang dihormati,

Benar. Selama ini kita hanya dibawa melihat peribadi Nabi Muhammad dalam skop yang sangat sempit. Masih terlalu banyak sisi yang belum diterokai. Entri yang menarik untuk direnungkan bersama.

Azhar Salleh mengatakan...

Salam TUAN HAJI,
Saya berharap sangat agar tuan haji dapat menulis puisi tentang sifat Rasulullah saw utk dimuatkan dalam blog ini. Harap tidak keberatan untuk melontarkan baris puitis tentang insan paling agung itu. Mudah-mudahan, saya dan pengunjung blog ini akan beroleh manfaat dan pahala daripada bingkisan itu. Selain medium ceramah, saya percaya sifat Rasulullah saw boleh dinukilkan dengan bait indah, agar kita semua beroleh iktibar.

Sham al-Johori mengatakan...

slam syeikh al-haj,
begitulah kita melihat dengan mata iman. rasulullah adalah pelengkap kepada kehidupan alam. kiat yg didampingkan ini perlu sentiasa berada di landasan yang dibinanya. Amin.

Melihat Kesunyataan mengatakan...

sahrunizam,
Saya berharap sangat orang politik menjadikan peribadi Rasulullah ini dalam tindak tanduk mereka.

Azhar,
Satu cadangan yang baik. Tapi kena banyak menghayati sirah nabi dulu.

Sham,
Sama-samalah kita menghayati risalah Rasulullah yang indah itu.