Sudah sebulan emak mertua saya terkedang kerana strok sebelah badan. Tangan dan kaki sebelah kiri tidak dapat digerakkan langsung. Kini Emak mertua saya sudah sampai perengkat meracau-racau. Terutama pada waktu tengah malam, menjelang jam 2 – 3 pagi. Dia asyik menyebut nama orang-orang yang sudah meninggal.
Ada beberapa perkataannya yang agak pelik, yang menyebabkan anak-anaknya menaruh syak bahawa emak mereka (mak mentua saya) ada mengamalkan sesuatu. Saya dan isteri tidak percaya langsung, memandangkan emak mertua saya itu rajin membaca Al-Quran, malah pernah mengajar anak-anak jiran belajar mengaji.
Kak Esah (Kak Long) akhirnya bertanya sendiri kepada mak dan sungguh memeranjatkan apabila mak mengaku memang dia ada mengamalkan sesuatu. Dulu, katanya dia jahil, itupun bukan atas kerelaannya sendiri. Ada sesorang yang menurunkan amalannya itu kepadanya secara tidak dia sedari. Kenapa sekarang baru mak bercerita? Mungkin dia tidak tahu apakah akibatnya, lebih-lebih lagi saat-saat dia akan menghadap Ilahi.
Maka dicarilah orang-orang yang boleh mengeluarkan ‘benda’ itu dari tubuh mak. Sudah tentu kami tidak percaya bomoh. Kami mencari kepakaran di kalangan ustaz-ustaz. Semuanya menggunakan ayat-ayat Al-Quran. Adalah adik beradik yang kenal ustaz itu dan ustaz ini. Saya pula jenis suka bertanya, untuk memastikan amalan ustaz itu sesuai ke tidak. Saya akan banyak bertanya. Seperti apa amalan ustaz? surah atau ayat-ayat apa yang digunakan? Ada ke tidak jampi-jampi? Alhamdulilah kebanyakan ustaz yang datang tidak menyertakan jampi-jampi dalam cara pengubatannya. Semuanya menggunakan ayat-ayat Al-Quran. Tapi ada juga yang menimbulkan syak wasangka saya, apabila di antara mereka yang meminta pengeras sampai RM200.44 sen. Katanya duit itu untuk diserahkannya sendiri ke rumah anak-anak yatim. Ada yang awal-awal minta bayar dalam bentuk kifarah sebanyak RM400.00. Harap-harap betullah. Lepas serahkan kepadanya, kita pun percayakan sahajalah. Maklumlah mereka tu ustaz.
Ada juga ustaz yang dapat membaca keadaan rumah mak di KT. Katanya ada pokok rambutan dan tidak jauh dari pokok rambutan itu ada pokok manggis. Betul pula tu. Ada benda tertanam di situ, katanya. Siapa pula yang yang nak buat aniya kepada mak? Mungkin katanya pernah di tinggalkan oleh bomoh. Dulu memang ada seorang bomoh datang, itu pun entah siapa yang bawa. Bukan dari kalangan kami adik- beradik. Apa yang menyebabkan saya tidak percaya bomoh muda itu yang datang mengubati ayah mertua saya ketika itu, apabila dia menggunakan minyak anak gajah bunting sulung. Botol minyak itu ditunjukkan kepada saya. Nak dapatkan minyak anak gajah bunting sulung terpaksa bunuh ibunya dulu. Bukankah zalim namanya membunuh binatang semata-mata hendakkan anak gajah bunting sulung itu?
Memang saya tidak percaya.
3 komentar:
Salam, Tuan MK.
Keluarga saya pernah mengalami peristiwa-peristiwa pelik sebegini. Kononnya, ia bermula daripada ilmu salah yang diamalkan oleh generasi terdahulu. Bukanlah ilmu hitam, tetapi sebaliknya ilmu untuk manfaat keluarga, misalnya ilmu untuk menjadikan seseorang itu rajin bekerja.
Apapun, saya sangat tidak bersetuju dengan sebarang bentuk ilmu sebegini. Ia seolah-olah telah menidakkan iman dan amal kita yang mempercayai Allah. Namun apa lagi boleh dikatakan jika ilmu sebegini telah berakar umbi dan diwariskan (walau tanpa rela) dari satu generasi ke satu generasi.
Sehingga ke hari ini, saya percaya ilmu dan makhluk halus itu wujud. Namun sehingga ke hari ini, saya belum menemui ustaz yang boleh dipercayai untuk menyingkirkannya. Berpuluh-puluh orang yang saya temui untuk berubat setakat ini mengaku telah 'membuang' semuanya. Namun setiap kali menemui 'ustaz' yang baru, pasti mereka akan memulakan cerita yang serupa dengan 'ustaz' sebelumnya.
Sudah beribu RM dihabiskan, namun hasilnya tetap sama. Akhirnya saya membuat kesimpulan, semua yang saya temui adalah sama. Menipu. ilmu dan makhluk itu tidak mungkin dapat dibuang. Saya yakin, kita tidak memerlukan sesiapa. Kita hanya perlu berserah kepada Allah. Dialah Yang Maha Mengetahui dan Maha Melindungi.
Marni,
Terima kasih atas pandangan serta coretan pengalaman itu. Saya sendiri juga tidak mempercayai segala bentuk pengubatan cara itu. Segala-galanya terpulang kepada kita sendiri. Ustaz pun manusia biasa, tapi nak cari Ustaz yang benar-benar ikhlas dan betul susah juga.
Benar kata tuan. Seorang teman sekerja (yang juga berpangkat Ustaz) pernah berpesan, jika kita berasa teraniaya kerana diwariskan ilmu salah tanpa kerelaan, kita sendiri perlu memohon perlindungan daripada Allah. Itulah sebaik-baik usaha kerana Allah telah menjanjikan makbul bagi doa mereka yang teraniaya. Sayangnya, lebih ramai yang percaya janji manusia yang mengubati mereka berbanding janji Allah kepada hambaNya.
Sesetengah orang suka meminta bantuan ustaz 'memulihkan' mereka menghalau segala jin dan syaitan tetapi setiap hari mereka menonton cerita hantu di televisyen yang secara tidak langsung memanggil jin dan syaitan mendekati mereka. Apalah gunanya ikhtiar sebegitu?
Sehingga kini, banyak yang telah saya pelajari berkaitan rawatan dan doa yang perlu kita ikhtiarkan sendiri. Amalan selawat syifa' dan doa-doa ajaran Rasulullah adalah penawar yang terbaik. Alhamdulillah, gangguan tersebut tidak lagi menghantui diri. Kita perlu yakin hanya Allah yang Maha Berkuasa atas segalanya.
Posting Komentar