Rabu, 29 Juli 2009

Percakapan Seorang Shamsudin


Shamsudin Othman, penulis kelahiran Tangkak ini memang tidak asing lagi bagi penulis muda Johor. Saya mengenali beliau ketika beliau masih menuntut lagi. Beliau sudah mula mendekatkan diri dengan penulisan dan juga Persatuan Penulis Johor (PPJ). Ketika PPJ mengadakan pertemuan di Desaru sempena penerbitan antologi ‘Iqrak’ beliau datang bersama temannya Kamaruddin Md. Tahir. Selepas itu Shamsuddin masuk Maktab Perguruan Lembah Pantai, Kuala Lumpur dan kebetulan selepas itu mengajar di Kota Tinggi. Dari sini beliau terus belajar dan akhirnya berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti. Kini beliau adalah pensyarah di Universiti Putera Malaysia.

‘Taman Percakapan’(DBP: 2006) adalah kumpulan puisi beliau yang memuatkan 110 buah sajak. Membaca ‘Taman Percakap’ seolah-olah membaca siapakah Shamsudin Othman yang sebenarnya. Penulis seangkatan Rahimidin Zahari dan SM Zakir ini cukup kuat berpegang kepada prinsip pencarian diri, sesuai dengan dirinya yang sentiasa tenggelam dalam alam mujarradat (kerohanian). Dalam percakapannya kepada roh seorang Shamsuddin, dia seolah-olah merayu kepada Al-Khalik;

Tuhan
Jangan biarkan aku sendiri
Kerana aku makin jauh
Dan jauh
Menuju dunia kekasih.

Shamsuddin juga sering mengingatkan dirinya, isteri dan anak-anaknya tentang harapan seorang suami, seorang ayah dan juga sebagai seorang kekasih.
Kepada Saiyidah Sumaiyah dia berdoa;

Agar kau menjadi sepohon mawar
Yang tegar melepaskan harum
Ke langit menjadi bunga segar
Ke sisi menjadi dahan merendang
Ke tanah menjadi akar menunjang
Dan aromanya mengikat gerak peribadi.

Shamsuddin juga bercakap kepada banyak orang dan banyak benda seperti percakapan kepada bahasa Melayu, kepada hari lebaran, hari kematian, kepada Tanjung Sedili dan juga kepada bulan dan bintang.
Semua percakapan ini sebenarnya membawa makna yang tersendiri. Meminta banyak kembara melalui lawang-lawang fikiran dan renungan.
Kita menunggu-nunggu kumpulan puisi beliau seterusnya.

4 komentar:

Sham al-Johori mengatakan...

Kanda Shapiai yang dihormati,
Jangan terlalu memuji saya kerana pujian akan memusnahkan. Saya takut kepada pujian kerana itu adalah pinjaman duniawi yang akan hilang dalam sekelip mata sahaja.

Nanti saya poskan kumpulan puisi terbaharu berjudul "Tanah Nurani".

Salam istiqamah

Melihat Kesunyataan mengatakan...

Shamsuddin,
Bukan nak memuji, tetapi lebih kepada menghargai penulis-penulis Johor. Malah orangnya memang saya kenali sejak dulu, dan sajak-sajaknya tetap saya baca. Malah saya berharap agar setiap penulis akan terus menulis, biarpun karyanya tidak diperkatakan. Disamping itu saya ingin menjolok kalau-kalau ada lagi kumpulan terbaru. Ternyata ada. Inilah yang sangat-sangat saya tunggu. Ingin membaca kumpulan sajak Shamsuddin yang terkini.

Tarbus Merah mengatakan...

Tuan Haji,

Saya di Mesir pun membaca 'Taman Percakapan' milik Tuan Shamsuddin.

Barangkali belum bertemu dengan tuan punya badan sendiri.

Melihat Kesunyataan mengatakan...

Syafiq,
'Taman Percakapan' Shamsudin ini memang menarik untuk dibaca dan dimaknakan.