Sabtu, 26 September 2009

Melayan Karenah Anak-Anak Berhari Raya.

Ada sekumpulan kanak-kanak memberi salam berkali-kali di sebelah rumah jiran. Tapi nampaknya tidak ada tanda-tanda tuan rumah untuk menerima mereka masuk. Saya keluar dan menyatakan kepada mereka tidak perlulah beri salam berkali-kali. Cukup tiga kali, jika tuan rumah tidak suruh masuk elok beredar saja. Saya suruh mereka masuk berhari raya ke rumah saya.
Saya minta mereka basuh tangan dulu di paip luar. Apabila mereka masuk saya nyatakan kenapa mereka mesti basuh tangan. Sekarang ini kita menghadapi wabak H1N1, elok kita berhati-hati dan mesti jaga kebersihan.
Saya tanya mereka dari mana. Mereka datang dari taman perumahan sebelah. Lapan orang semuanya. Masih bersekolah rendah. Dua orang sudah tahun enam. Saya bertanyakan tentang keluarga mereka. Tentang persekolahan mereka. Ada di antara mereka yang kelihatan tidak berapa sopan. Saya tegur mereka dengan baik dan nyatakan mengapa kita mesti bersopan bila berada di rumah orang. Apa yang mesti kita ucapkan. Bagaimana ketika menghadap makanan. Berdoa sebelum makan. Jangan makan dulu sebelum dipelawa.
Lalu perbualan saya dengan mereka menjadi lancar. Mereka rajin bertanya. Apabila melihat gambar anak-anak saya yang menerima ijazah, mereka bertanyakan tentang anak-anak saya. Saya nyatakan bahawa mereka pun boleh berjaya dalam pelajaran jika rajin belajar. Anak saya pun bukan tergolong dari pelajar pintar. Tapi saya pastikan mereka rajin belajar. Kamu semua pun boleh berjaya. Tuhan beri kita otak yang sama, yang membezakan cuma usaha dan doa.
Dalam perbualan itu saya sempat juga menguji mereka tentang mengapakah kita umat Islam merayakan 1 syawal ini, yang dikenali sebagai Hari Raya Adilfitri.
Untuk bermaaf-mafaan, kata salah seorang daripada mereka. Ada juga yang menyatakan hari raya untuk sembahyang raya. Untuk balik kampung dan untuk dapatkan duit raya.
Semuanya betul. Sempat juga saya nyatakan tentang ibadat sebelum raya, iaitu ibadah sepanjang bulan ramadan. Tentang bertrawih, membaca al-Quran, berzikir, berzakat dan beramal banyak-banyak. Itu yang penting. Bukan untuk berhibur.
Agaknya dah macam ustaz pula berceramah pada mereka.
Sebenarnya inilah masanya bagi kita mendekati anak-anak. Pembelajaran bukan hanya semata-mata di bilik darjah. Bagaimana cara berziarah, bagaimana ketika berada di rumah orang perlu juga kita beritahu mereka.
Berbuallah dengan mereka. Berbuallah dengan baik. Sebut nama mereka. Beri pujian jika mereka menunjukkan sesuatu yang baik.
Kita sendiri mesti memulakan dengan mengucapkan selamat hari raya kepada mereka. Bertanyakan tentang keluarga. Balik beraya di kampung ke tidak. Dan ketika mereka nak balik nyatakan kepada mereka bahawa kita berkirim salam pada kedua ibubapa mereka.
Saya sungguh kesal jika ada orang yang tidak suka melayan anak-anak. Malah ada yang cuma menghulurkan duit raya di luar pintu pagar tanpa menyuruh mereka masuk, dengan alasan anak-anak itu cuma nakkan duit raya. Jadi kitalah yang mengajar mereka minta sedekah.
Layanlah mereka. Anak-anak sebenarnya lebih jujur bila berkunjung ke rumah kita. Apabila mereka keluar dari rumah kita dengan hati yang gembira, itu adalah doa untuk kita juga. Bila di hati mereka terdetik bahawa tuan rumah ini pemurah, tuan rumah ini baik, tuan rumah layan kita dengan baik, mudah-mudahan Allah memberkati kita.
Ingatlah mereka adalah tetamu kita. Mereka belajar daripada kita.

7 komentar:

Md Nizar Parman mengatakan...

Salam Tuan Haji,
Sebenarnya saya anak jati Jawa Parit Raja. Kini menetap di Ayer Hitam, cuma berkhidmat sebagai guru di Johor. Insya-Allah, saranan Tuan Haji akan saya sambut.

Azhar Salleh mengatakan...

Salam TUAN HAJI,
Memang demikianlah kerenah kanak-kanak yang datang ke rumah kita utk berhari raya. Mereka datang dengan penuh keikhlasan, tanpa sebarang dosa dengan kita. Kadangkala saya pun hairan dengan sesetengah daripada kita yang menganggap kedatangan mereka seperti suatu beban, sedangkan rezeki yang kita peroleh hari ini merupakan anugerah Allah swt kepada kita, yang perlu kita syukuri. Seringgit kita sedekahkah kepada kanak-kanak itu, insya-Allah, akan dibalas dengan sepuluh ringgit oleh Allah swt. Cuma yang perlu kita insafi ialah balasan Allah swt kadangkala tidak terjelma secara tersurat. Kejayaan anak-anak kita, rezeki kita, dan usia kita yang dilanjutkan-Nya merupakan balasan-Nya yang hanya dapat diinsafi melalui keyakinan dan kesedaran. Terima kasih tuan haji kerana memberikan suatu input yang amat mengesankan. Salam Aidilfitri.

Citra Delima mengatakan...

Salam Tuan Haji,

Satu sifat yang mulia yang perlu ditunjukkan untuk genarasi muda, kita yang dewasa perlu memimpinnya supaya faham melayani anak anak kita berhari raya dengan sopan. Pendidikan tidak mengira masa dan tempat, yang pentingnya adalah ikhlas.

Syaidul Azam Bin Kamarudin mengatakan...

Assalamualaikum.
Saya suka akan entri ini dan entri sebelum ini yang berkaitan soal aidilfitri. Sangat berguna untuk panduan.Bertuah anak-anak yang dapat didikan drpd. seorang ayah seperti tuan haji.

FadzliAbuBakar mengatakan...

Saya setuju dengan pendekatan tuan haji melayan kanak-kanak yang datang beraya... selain pujian, duit raya mungkin boleh jadi insentif untuk mereka mendengar semua kebaikan itu...

Melihat Kesunyataan mengatakan...

Md. Nizar,
Akhirnya dapat juga kita berjumpa di DBPWS. Salam perkenalan.

Azhar,
Nampaknya tahun ini beraya sakan di Pulau Pinang. Sampai menjamah mi udang Sungai Dua yang lazat itu.

Tuan Haji,
Saya faham orang pertanian pun ada jiwa sayangkan anak-anak. Macam kita sayangkan benih pohon. Masa pohon masih kecillah kita perlu menjaganya dengan lebih berhati-hati. Buahnya nanti untuk generasi akan datang jua.

Saidul Azam,
Terima kasih atas sokongan dan ulasan. Itulah yang termampu saya buat.

Fadzli,
Baru-bari ini saya menerima lagi sekumpulan anak-anak yang datang beraya. Mereka ini nampaknya lebih matang. Saya seronok melayan mereka. Meskipun baru darjah enam, tetapi pembacaan mereka nampaknya sudah meluas. Bila saya tanya kenapa tidak mahu jadi wakil rakyat, mereka pantas menjawab menyatakan kebanyakan ahli politik suka bergaduh dan suka buat orang bergaduh. hehe lihatlah di Bagan Pinang.

fradz global resources mengatakan...

The best advice that i have learned today...terima kasih tuan kerana sedikit sebanyak membentuk anak anak melayu..saya pun boleh dianggap anak tuan juga...tahniah satu kupasan yang menarik