Minggu, 04 Oktober 2009

Tentang Seminar Bahasa Melayu Bahasa Dunia.

Semasa sesi Forum sempena Seminar Bahasa Melayu Bahasa Dunia yang baru lepas saya tertarik dengan pendapat seorang wakil berbangsa Cina, yang juga seorang penulis yang banyak menghasilkan karya sajak dalam bahasa Melayu. Tidak perlulah saya sebutkan namanya di sini. Beliau mempertikaikan pendapat ahli panel yang menyatakan bahawa di Malaysia ini tidak perlu papan tanda empat bahasa. Katanya, sebagai sebuah Negara majmuk kita perlu menghormati kaum lain, apa salahnya dengan penggunaan empat bahasa di papan-papan tanda itu. Lagi pun papan tanda tersebut untuk kemudahan pelancong.
Ada lagi yang tidak faham, malah bagi saya mereka tidak mahu faham. Apa guna bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi. Lainlah kalau kita bersetuju empat bahasa sebagai bahasa rasmi. Untuk menghormati kaum-kaum lain kita sudah sedia berlembut dengan membenarkan bahasa-bahasa lain digunakan sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah. Malah kerajaan bantu pula sekolah-sekolah ini. Kerajaan kita selama ini cukup berlembut dan prihatin terhadap bangsa-bangsa lain di Negara ini. Datuk Zainal Abidin Borhan sendiri memberi contoh di Thailand, baik orang Melayu dan orang Cina Thailand terpaksa akur dengan satu bahasa rasmi Thai. Untuk jadi rakyat Thai mereka mesti mempunyai nama Thai dan juga belajar bahasa Thai sebagai bahasa pertama.
Kalau sekadar untuk kemudahan pelancongan, saya rasa alasan ini tidak munasabah. Elok rasanya kita gunakan tulisan Arab, Jepun dan Rusia juga pada papan-papan tanda kita. Bukan tulisan cina dan Tamil sahaja.
Apa yang kita harapkan ialah agar bahasa Melayu dapat digunakan oleh semua kaum bagi menyatakan fikiran mereka, menulis dalam bahasa Melayu iaitu bahasa Melayu Tinggi dan dapat bercakap bukan sekadar untuk berkomunikasi, tetapi juga sebagai satu cara untuk menyatakan fikiran, pendapat dan digunakan dalam kehidupan seharian.

Prof Wu Zong Yu
Bila Prof Wu menyatakan kecintaannya terhadap bahasa Melayu dan sanggup menjadikan matlamat hidupnya untuk mengembangkan bahasa Melayu di negera Cina, kita tentulah berasa bangga dengan beliau. Untuk itu beliau terus berpegang kepada prinsip dan matlamatnya itu dengan mengajar bahasa Melayu kepada pelajar-pelajar Cina di Beijing Foreign Studies Universiti (BFSU).
Memang ternyata semasa membentangkan kertas kerja beliau yang berjudul ‘Kedegilan Mengembangkan Bahasa Melayu di Negeri Cina’ beliau berpuas hati dengan usahanya itu. Katanya, ramai pelajarnya sudah begitu mantap dalam berbahasa Melayu. Kebetulan bersama beliau hadir juga dua muridnya yang sedang belajar di UM untuk menyiapkan ijazah sarjana dan seorang lagi untuk phd dalam bahasa Melayu.
Saya yakin Prof Dr Wu belajar bahasa Melayu dan kini jatuh cinta dengan bahasa Melayu tidaklah sampai kepada melupakan bahasa Mandarin, iaitu bahasa ibundanya. Mengembangkan bahasa Melayu di Negeri Cina tidaklah sampai kepada membuang bahasa Mandarin. Mereka belajar bahasa- bahasa asing kerana inginkan ilmu yang terdapat dalam bahasa-bahasa tersebut. Tidak lebih daripada itu. Tidallah sampai untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di Negara mereka.
Begitulah kalau ada orang kita yang sudah jatuh cinta dengan bahasa Inggeris, hingga sanggup mengajarkannya kepada anak-anak Melayu dan mengembangkannya, persilakanlah. Kita memang mengakui bahasa Bahasa Inggeris adalah bahasa Ilmu, tetapi janganlah sampai menjatuhkan bahasa Melayu hingga ke taraf bahasa pasar, iaitu hanya boleh digunakan untuk pertuturan seharian tanpa harapan untuk dijadikan bahasa Ilmu.
Kita kekurangan buku-buku ilmiah dalam bahasa Melayu bukanlah satu alasan yang kukuh untuk menidakkan bahasa Melayu dalam pembelajaran sains dan matematik. Rasanya sudah beribu cerdik pandai kita yang telah menguasai bahasa Inggeris dan juga bahasa-bahasa lain. Mereka dihantar belajar ke luar negara dan kembali dengan pelbagai gelaran dan ijazah. Mengapa mereka tidak menulis? Nak kata mereka banyak menulis dalam bahasa Inggeris pun tak juga. Adalah beberapa kerat. Inilah sikap kita. Sikap orang Melayu khususnya. Mereka yang balik dari luar negara lebih gemar mengejar pangkat dan kuasa dalam politik.

4 komentar:

Rusdi Abd Rahman mengatakan...

Tn. Hj.,
Sayangnya tidak dapat bersekali dalam seminar itu kerana pada tarikh 28 September hingga 4 Oktober keperluan kerja yang banyak untuk menguruskan dan menggerakkan program Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2009 negeri Johor dan Melaka.
Kenapa dalam menjeritkan 1 Malaysia pemimpin besar negara kurang melaungkan juga 1 Bahasa 1 Malaysia?

Ahmad Nawawi Yaakob mengatakan...

Pejuang bahasa melayu tidak boleh harap kepada orang politik, kebanyakannya telah dicucuk hidung, jadi 'yes man'.. NGO dan kita semua perlu ke depan dalam hal ini. Kasihan kepada bahasa kita yang dipinggirkan sendiri oleh bangsanya.

Citra Delima mengatakan...

Tuan Haji,
Sayangnya saya tidak diundang ke seminar itu. Mungkin tidak layak agaknya. Walau bagaimana pun, saya tetap mendoakan agar bahasa melayu satu hari nanti berada dipersada dunia. Tambahan ungkapan PM kita 1 Malaysia 1 Bahasa.

Melihat Kesunyataan mengatakan...

Rusdi,
Saya tahu iltizam tuan dengan aktiviti Bulan Bahasa lebih memerlukan tuan di situ. Sepatutnya 1 Malaysia bermakna 1 bahasa juga.

Ustaz,
Kita beruntung kerana orang-orang politik di Johor memahaminya. Seperti yang ditunjukan oleh YAB Menteri Besar kita.

Tuan Haji,
Sebenarnya untuk hadir dalam seminar ini tidak perlu undangan dari sesiapa. Kita boleh memohon untuk hadir dengan dikenakan sedikit bayaran.
Harap tuan haji tidak putus asa dalam memperjuangkan martabat bahasa Melayu. Sama-samalah kita menyokongnya.