Sabtu, 24 Oktober 2009

Belanjawan: Bai'ah Baru bagi Pengetua dan Guru Besar

Setiap tahun kita dapati belanjawan kerajaan biasanya memperuntukan sejumlah wang yang banyak untuk pendidikan. Tahun ini 30 bilion disediakan untuk pendidikan sahaja. Salah satu insentif yang menarik ialah tawaran ‘Bai’ah Baru’ (New Deal) kepada Pengetua dan Guru Besar yang menunjukan prestasi yang baik. Mereka akan mendapat ganjaran berbentuk intensif kewangan dan bukan kewangan (mungkin kenaikan pangkat). Perlu diingat peranan guru di sesebuah sekolah juga penting diberi perhatian. Prestasi sekolah biasanya bergantung juga kepada kerjasama semua pihak yang terlibat. Lebih-lebih lagi peranan guru. Sepatutnya pencapian sesebuah sekolah diukur secara kolektif, bukan secara individu. Pengetua atau Guru Besar yang cemerlang biasanya bergantung kepada guru-gurunya yang juga cemerlang.
Apa yang dikhuatiri ada Pengetua atau Guru Besar yang akan memberi tekanan kepada guru-guru di bawah mereka semata-mata untuk mengejar habuan. Sedangkan selama ini pun kita dapati guru cukup tertekan dengan lambakan tugas yang begitu banyak. Guru bukan setakat mengajar sahaja. Guru juga dibebankan dengan tugas-tugas perkeranian. Malah ada guru yang dibebankan dengan tugas-tugas tukang kebun, tukang sapu, juru latih sukan, merekodkan kesihatan pelajar dan banyak lagi.

Belanjawan Rumah tangga

Pernahkah kita menyediakan sejumlah peruntukan yang besar untuk pendidikan anak-anak kita. Selain daripada peruntukan yuran sekolah, buku-buku, tuisyen dan peralatan sekolah anak-anak, berapa banyakkah peruntukan untuk membeli buku-buku tambahan untuk bahan bacaan .keluarga di rumah.
Saya kira tidak ramai ibubapa yang sanggup memperuntukan sejumlah gaji mereka untuk pendidikan anak-anak. Terutama membelikan mereka buku-buku cerita atau novel. Bagi ibu bapa lebih baik menghantar anak mereka ke pusat-pusat tuisyen, kerana ini lebih berguna bagi masa depan mereka. Ibu bapa juga sanggup membeli buku-buku kerja dan ramalan peperiksaan demi memastikan anak-anak mereka mencapai markah tertinggi dalam peperiksaan. Mereka lupa dengan perkembangan emosi anak-anak mereka. Bagi si anak pila senggang akan diisi dengan permainan-permain dalam komputer. Mereka tidak gemar membaca buku selain buku teks.
Jadilah mereka manusia robot. Kalau mereka jadi ketua, mereka akan memastikan hidup ini mengikut aturan-aturan yang telah ditetapkan. Begitu juga kalau mereka jadi Pengetua, mereka akan menjadikan guru-guru di bawah mereka robot-robot yang patut mengikut arahan dan peraturan. Tidak ada budi bicara. Pencapaian diutamakan. Janji habuan untuk kecemerlangan demi melahirkan generasi hari muka yang cemerlang.

5 komentar:

Citra Delima mengatakan...

Tuan Haji,
Kejayaan sebuah sekolah bukan kerana kecekapan Pengetua atau Guru Besar saja. Kejayaan adalah terletak pada seluruh anggota warga kerja di sekolah tersebut. Ini termasuk guru, kerani, malah tukang kebun dan PAR juga terlibat.
Macam mana cekapnya seorang Pengetua, bolehkah ia pos surat-surat disekolahnya ke pejabat pos. Tepuk dada, tanyalah Iman.

Md Nizar Parman mengatakan...

Salam Tuan Haji,
1) Itulah realiti, Tuan Haji. Ibarat kata orang dahulu, "Lembu punya susu sapi dapat nama". Seharusnya yang menerima ganjaran bukan setakat guru besar atau pengetua sahaja tetapi seluruh warga organisasi tersebut. Apakah yang diperoleh guru? APC? Hanya seorang dua sahaja setiap tahun. Jika sasaran dapat dicapai,alhamdulillah. Jika tidak? Siapakah yang harus menanggung risikonya?

2) Itulah realiti pendidikan hari ini, Tuan Haji. Kadang-kadang, saya melihat anak-anak yang sepatutnya berkembang secara lahiriah atau semula jadi tiba-tiba menjadi seperti bahan uji kaji pula. Apakah ini ada kaitannya dengan teori2 pendidikan para sarjana barat yang sehingga hari ini masih menjadi pegangan dalam institusi pendidikan di negara kita? Saya masih ternanti2 teori cedekiawan2 Islam yang cukup hebat digunakan secara meluas dalam institusi pendidikan di negara kita.

Melihat Kesunyataan mengatakan...

Tuan Haji Tahir,
Meskipun Tuan Haji orang pertanian tetapi nampaknya tuan haji begitu prihatin tentang tanggungjawab seorang guru.

Md. Nizar,
Sebagai seorang guru tentu Md Nizar juga merasainya. Betapa selama ini guru-gurulah yang membantu kecemerlangan sesebuah sekolah. Guru Besar atau Pengetua biasanya dapat nama.

Azhar Salleh mengatakan...

Salam TUAN HAJI,
Benarkah hanya guru besar atau pengetua yang mendapat 'untung'? Guru-guru, dianaktirikan, adakah premis ini benar dalam semua keadaan? Inilah persoalannya. Saya berpendirian bahawa organisasi yang baik haruslah ditunjangi oleh organisasi itu sendiri. Kaki tidak dapat berjalan jika otak tidak dapat menerima arahan daripada fikiran atau akal yang sihat. Demikian juga begitu, yakni kecemerlangan sekolah haruslah didukung oleh guru besar yang cemerlang, guru yang dedikasi, staf yang komited, dan murid yang berdisiplin. Jikalau salah satu daripadanya cacat, maka cacatlah organisasi itu. Tidak mungkin bergerak dengan lancar dan licin jikalau salah satunya 'terluka". Di sinilah letaknya kepentingan seorang ketua, kerana menurut Aristotle, organisasi yang cemerlang lebih baik dipimpin oleh ketua yang baik, bukan sekadar undang-undang yang baik. Wallahualam.

Melihat Kesunyataan mengatakan...

Cikgu Azhar,
Saya menyuarakan kebimbangan tentang 'Bai'ah' ini kerana ada pengalaman dalam bidang pendidikan selama 30 tahun lebih. Berjumpa dengan pelbagai karenah guru besar dan pengetua.
Kasihan cikgu-cikgu. Tapi ada juga guru besar/pengetua yang baik yang perlu dihargai.