Senin, 12 Oktober 2009

Kilau Setitik Sinar- Rosli K. Matari


Saya mengenali Rosli K. Matari secara tidak dirancang. Kebetulan beliau datang ke Johor Baharu kerana ada urusan keluarga. Sebelum ini pun saya sudah mengenali beliau melalui karya-karya beliau yang selalu menghiasi dada-dada akhbar. Jadi sudah semacam ada jalinan kemesraan sesama penulis.
Biasanya begitulah, saya banyak mengenali penulis melalui karya-karya yang saya baca terlebih dahulu. Saya kenal Noor Ihsan Ghazali melalui bacaan kumpulan puisi beliau berjudul ‘Merindu Alam’. Begitu juga penulis-penulis lain seperti Abdul Hadi Muhammad, Ahmad Al-Kurauwi, Md. Nizar Parman, Sahrunizam, Fadh Radzi dan juga Rahimidin (banyak lagi).
Bila sudah kenal, saya tertunggu-tunggu pula karya mereka di media. Kalau karya mereka tersiar saya akan baca terlebih dahulu.
Baru-baru ini saya sempat membaca sajak Rosli K. Matari yang tersiar di Dewan Sastera Oktober 2009 yang berjudul, ‘Kasihku Pada Pattani’. Rahimidin Zahari juga ada memuatkan sajak ini dalam blog beliau. Bila saya menghubungi Rosli, beliau terus mengemail (melalui Haji Abdul Hadi Muhammad) beberapa buah sajak beliau lagi kepada saya. Sebuah sajak beliau yang menarik adalah tentang falsafah kehidupan kita yang begitu kecil jika dibandingkan dengan kekuasaan Allah yang Maha Pencipta itu. Menurut beliau sajak ini pernah tersiar dalam akhbar Berita Minggu dan juga dalam antologi Puisi Gema Membela Gema (GAPENA).

KILAU SETITIK SINAR

Kita tidak dapat mencipta
walau setitik cahaya.

Setitik cahaya
terpercik oleh ribuan titik sinar.

Dalam setitik sinar
terpendam Lautan Makrifat.

Luasnya tidak terjangkau
bumi dan matahari sebesar debu.

Dari setitik Lautan Makrifat
terpencar Nur Hakikat.

Dalam setitik Nur Hakikat
terbentang luas Lautan Wujud.

Dasarnya tidak terjangkau
tenggelam buruj dan langit.

Lautan Wujud itu
tenang jernih dalam qalbumu.

Pernahkah kauselami?

12 Nov 1998

3 komentar:

Azhar Salleh mengatakan...

Salam TUAN HAJI,
Ya, selepas puisi beliau saya baca, terkesan nada falsafah keagamaan yg agak menebal. Bukankah penulis merupakan guru, dan guru ialah pendakwah?

Melihat Kesunyataan mengatakan...

Azhar,
Kita tertunggu-tunggu kumpulan puisi beliau.
Begitu juga tuan Sifu, rasanya sajak dah banyak, eloklah difikirkan untuk diterbitkan dalam bentuk buku kumpulan puisi perseorangan.

Unknown mengatakan...

k matari adalah bekas guru sekolah saya! seronok berbual dengan beliau.