Tiga puluh tahun yang lalu. Aku telah diterima untuk menghadiri kursus perguruan di Tanjung Malim. Mendaftarkan diri pada 4 Januari 1969. Surat arahan serta waran tiket keretapi telah dikepilkan bersama.
Sepatutnya aku akan meneruskan pengajian di Tingkatan Enam, Sek. Al Ehya Assarif. Pendaftaran telahpun kubuat. Terpaksalah aku membatalkan hasrat untuk melanjutkan pelajaran. Lebih-lebih lagi dengan menyambung pelajaran ke tingkatan Enam ayah akan menanggung perbelanjaan untuk membayar yuran bulanan yang kira-kira seratus enam puluh.
Dari setesen keretapi Taiping aku turun di setesen keretapi Tanjung Malim. Setesen ini kecil sahaja.Tidak ramai penumpang yang turun. Ada dua orang yang kukira sama sepertiku untuk ke Maktab perguruan sultan Idris Tanjung Malim. Tapi aku tidak berani menegur mereka. Mereka pun tidak memperdulikan aku. Aku ikut mereka dari belakang. Mereka menyewa beca, tetapi cuma meletakkan beg sahaja. Mereka berjalan di belakang beca yang dikayuh secara perlahan. Aku mengekori mereka, kerana tidak tahu di mana maktab, tetapi aku percaya seratus peratus yang mereka juga seperti aku yang datang untuk mendaftar sebagai pelajar baru.
Daripada jalan besar selepas gate keretapi, kami membeluk jalan kecil yang di kiri kanannya terdapat semak-semak dan ada beberapa buah rumah tinggal. Tak lama kemudian barulah ternampak bangunan tersergam, yang aku percaya itulah maktab. Ada padang yang luas di hadapan bangunan tersebut. Sebelum sampai ke bangunan yang tersergam itu kami terpaksa melalui sederet bangunan seperti asrama. Memang benarpun. Dari tingkap asrama itu menjengul beberapa kepala. Mereka memanggil kami. Mereka yang di hadapan menayatakan beg mereka dalam beca yang sudah berada beberapa ela di hadapan.
‘Ha awak yang di belakang! Mari!’ Ada suara keras memanggil aku.
Adakah aku akan pergi.
‘Jangan degil, mari!’
Aku terpaksa singgah. Mereka memaksa aku naik. Ada lebih kurang tujuh anak tangga. Jangan terus naik, kata mereka. Di sini ada peraturan. Naik tiga anak tangga turun dua, begitulah sampai ke atas. Lagi satu peraturan beg yang aku sandang mestilah di junjung atas kepala. Dalam hatiku inilah yang dikatakan ‘regging’ itu. Wah, macam mana ni. Aku seorang, sedangkan di sekelilingku ramai. Apabila aku sampai di atas, aku pun diterjah dengan pelbagai soalan. Ketika itu juga mereka meminta aku menghafal nama mereka. Ada yang bernama ‘Hariss Big Bone’, Ada yang bernama ‘Papan E’ ada yang bernama ‘Si Luncai Cerdek’ dan macam-macam lagi lah. Mereka minta aku menghafal dan menguji aku balik. Apabila aku terlupa mereka menyuruh aku jalan macam itik.
Yang lain-laian ketawa melihatkan telatahku itu. Hinggalah ada seseorang menarik diriku dan membawa aku keluar dari kumpulan itu. Dia membawa aku ke sebuah bilik, dan mengambil butiran diriku. Aku ditempatkan di Wihara Hang Tuah. Atau Blok E. Ketika aku dihantar ke asrama E, lagi sekali aku dikerumuni pelajar-pelajar senior. Aku disuruh buat macam-macam perkara. Bila buat kesilapan disuruh ketuk ketampi dengan menjunjung beg di atas kepala. Hinggalah aku ditunjukkan katil tempatku di dorm yang kelihatannya macam berada di rumah sakit.
Di sebelahku ialah seroang senior yang begitu garang. Namanya Hamid Tuah. Kebetulan ada nama Hamid Tuah yang terkenal yang berjuang untuk kaum setinggan di Kuala Lumpur. Dia beri aku tugas sepanjang tahun ini, iaitu mengantung kelambunya setiap malam. Kawan aku yang juga baru sampai yang bernama Mat Isa Ajis kena berkokok setiap subuh untuk membangunkannya.
Minggu pertama ini adalah minggu orentasi. Kami di kenakan macam-macam perkara yang tidak terfikir sebelum ini. Ada yang diminta mencium semua tiang sepanjang lorong ke bilik air. Fikirkanlah ada lebih kurang 30 tiang semuanya, sepanjang gajah menyusur hingga ke tandas.
Di MPSI itu aku dikenali dengan panggilan ‘orang gunung’,kerana aku berasal dari Gunung Semanggol,Perak.
Aku mula berkuliah dan di letakkan dalam kelas B. Ada seramai 25 orang semuanya. Mulalah aku berkenalan dengan pensyarah-pensyarah. En. Kamaruzzaman pensyarah Geografi, Jognder Singh pensyarah pendidikan, Raman Khan pensyarah Psikologi, En. Tan pensyarah Bahasa Inggeris , Wan Dos Muhamamd pensyarah matematik, Haji Daud pensyarah Agama Islam, Shafie Tasi pensyarah lukisan, Jayatilaka pensyarah muzik, En. Kamaluddin pensyarah bahasa Melayu dan En. Zainuddin juga pensyarah pendidikan. Seorang lagi pensyarah ialah En. Nordin Hassan yang mengajar Bahasa Inggeris.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar