Selasa, 24 Februari 2009

Pertemuan Penulis Serumpun 2009


gambar bersama penulis Tanjung Pinang, Machzumi Dawood

Pertemuan penulis Johor- Riau (PPS) telah diadakan di Universiti Riau pada 21 Februari 2009 lalu. Saya bersama W.B. Rendra turut menjadi peserta. Kebetulan bertemu kawan lama Machzumi Dawood dari Tanjung Pinang. Dulu kami sama-sama menjadi peserta pertemuan Penulis Riau-GAPENA (1995), di Pulau Rupat. Saya juga bertemu kembali dengan Husni Abadi, penyaer Tanjung Pinang yang pernah sama-sama menghadiri Hari Puisi Nasional di Selangor pada tahun 2005.

Makalah Suwardi MS dan Pak Tenas Effendi menarik kerana menyentuh tentang bahasa Melayu yang memiliki kemampuan budaya sehingga menjadi bahasa lingua-franca bagi gugusan Nusantara ini (Kepulauan Melayu termasuk Tanah Melayu (Malaysia) Indonesia, Berunai DS).Orang-orang di Riau sendiri lebih senang bercakap dengan dialek bahasa Melayu-Riau. Ketika di Pulau Rupat dulu saya sendiri berasa seolah-olah berada di Johor, bila mendengar anak-anak yang sedang bermain guli bercakap Melayu dialek Melayu Johor.

Apa lagi bila disusuri tentang penubuhan kerajaan Melayu Johor, ada kaitan yang begitu jelas dengan beberapa tempat di Riau. Sebenarnya apabila disebut tentang kerajaan Melayu Johor, biasanya dikaitkan dengan Kerajaan Melayu-Riau-Lingga. Pada tahun 1824 Inggeris dan Belanda macam perompak/lanun senang-senang membahagikan Indonesia dan kepulauan Sumatera (termasuk Riau-Lingga) di bawah kekuasaanya, manakala Singgapura dan Tanah Melayu termasuk sebahagian Borneo di bawah kekuasaan Inggeris. Sejak hari itu kerajaan Johor terlepas sebahagian kawasannya yang berada di sebelah Indonesia. Lebih malang lagi tidak lama kemudiannya Singapura juga terlepas terus dari kekuasaan Johor. Bijaknya orang Inggeris ini, mereka sanggup belajar bahasa Melayu dan menggunakannya bukan untuk bawa balik ke England dan minta semua orang Inggeris belajar bahasa Melayu kerana pada masa itu bahasa Melayu adalah bahasa lingua-franca, tetapi mereka gunakan untuk menjajah orang Melayu. Sedikit demi sedikit pula mereka cuba menjajah pemikiran orang Melayu dengan mendirikan sekolah Inggeris. Alasannya cuma satu, iaitu ‘kemajuan’. Bahasa Inggeris bahasa kemajuan. Akhirnya bahasa Melayu jatuh tarafnya daripada bahasa ilmu kepada bahasa kampungan.

2 komentar:

Nazhatulshima Nolan mengatakan...

Terima kasih di atas kiriman buku puisi,ucapan dan doa. Saya hargai semuanya.

P/S:Teringat arwah nenek saudara saya berasal dari Riau.

Sham al-Johori mengatakan...

Bapak dosen,
Kita ni boleh dikatakan 'orang buku', pantang jumpa buku, kedai buku, rumah buku atau van buku. Tapi itu lebih mulai daripada menjadi 'orang minyak' atau 'orang-orang' yang konon bijak bersiasah tetapi hemah pekerti buruk.
Biarlah kita mati di meja membaca buku' daripada mati di 'meja judi' politik.
Salam dan selamat membaca buku-buku yang diborong di Pekanbaru tu. Jgn jadi macam menteri pelajaran yang beli buku di serata dunia tapi tak baca dan tak baca buku Melayu. Hehehe