Senin, 19 Oktober 2009

Pemandu Yang Tidak Berfikir

(Gambar halaman utama Berita Minggu)
Dalam akhbar BM Ahad lepas terdapat berita tentang kemalangan yang meragut dua nyawa akibat kecuaian pemandu kereta yang dipandu laju. Pada ketika itu cuaca hujan lebat, ramai penonggang motosikal berhenti berteduh di bawah sebuah jejambat. Kereta yang dipandu laju itu hilang kawalan dan merempuh lapan buah motosikal. Mangsa yang meninggal tercampak beberapa meter dan meninggal di tempat kejadian. Lebih menyayukan mangsa adalah seorang ibu mengandung dan seorang anak kecil yang sedang dipangkunya.
Berdasarkan laporan akhbar tersebut, kita dapati bahawa pemandu itu adalah seorang pelajar yang sedang belajar di sebuah pusat pengajian tinggi di Kuala Lumpur. Sebelum ini pun saya ada menyatakan; betapa orang terpelajar yang berjaya dalam hidup pun tidak semestinya melalui proses berfikir. Kalau dia melakukan sesuatu hanya kerana gerak hati dan mekanisme latihan yang diperolehinya di rumah, di sekolah dan di universiti. Betullah, sekali lagi saya tekankan di sini bahawa seseorang yang mendapat pendidikan tinggi pun tidak semestinya ‘berfikir’. Hidupnya bergerak secara mekanisme, kerana dilatih sejak kecil. Orang yang berfikir tentu akan memperlahankan kenderaan, bila cuaca tidak baik. Orang yang berfikir tentu percaya kepada risiko kemalangan kalau memandu laju, lebih-lebih lagi dalam keadaan cuaca buruk begitu.
Jadi pada saya ramai orang seperti pemandu ini, bila berada di jalan raya. Seharusnya bila melalui kawasan kampung, sudah sepatutnya memperlahan kenderaan. Bila-bila masa sahaja ada kemungkinan kanak-kanak melintas tanpa melihat kiri-kanan. Begitu juga bila melalui kawasan sekolah. Seharusnya kita memperlahankan kenderaan. Saya sungguh kecewa melihat kebanyakan pemandu tidak peduli tentang hal-hal yang saya sebutkan itu. Lebih mendukacitakan bila melihat kenderaan berat seperti lori dan bas, tidak pernah untuk bertimbang rasa, tidak ada usaha uuntuk memperlahankan kenderaan mereka bila melalui tempat-tempat seperti ini. Gambarkanlah, kalau berlaku kemalangan, ada jiwa pula yang terkorban.
Berfikirlah sebentar, mungkin ada nyawa yang dapat kita selamatkan.

6 komentar:

sahrunizam abdul talib mengatakan...

Selain tidak berfikir, pemandu Malaysia sebenarnya punyai sikap angkuh. Contohnya apabila melihat orang berjalan kaki mahu melintas jalan. Kenderaan yang sewajarnya diperlahankan makin ditekan minyak.

FadzliAbuBakar mengatakan...

Saya setuju... mereka sangat angkuh, terutama sekali sewaktu dalam keadaan stress...

Sedangkan mereka tidak tahu tindakan mulia memberi jalan kepada orang itu boleh menenangkan hati... Tak percaya? Boleh cuba...

Melihat Kesunyataan mengatakan...

sahrunizam,
Pemandu yang degil ini perlu disekolahkan balik.

Fadzli,
Saya menjadi trauma bila berada di jalan raya, fobia bila memegang streng..hehe

Citra Delima mengatakan...

Pemandu seperti itu bukan sahaja tidak berfikir, malah bodoh sombong, berlagak angkuh dan tidak bertimbang rasa pada pengguna lain. Ketua polis dah pun berkata, kalau dihukum mati pun dia tidak takut. Apa jenis manusia agaknya, tak tahu lah.

Md Nizar Parman mengatakan...

Salam Tuan Haji,
Segelintir pemandu di Malaysia memang begitu tabii pemanduannya. Alasannya mudah, mengejar masa (wang); semuanya mahu cepat. Akhirnya nyawa melayang, musibah dapat. Ingatlah "nyawa" yang tersayang. Tal begitu, Tuan Haji?

Shutterhouse Studio mengatakan...

Mentaliti orang Malaysia selalu beranggapan kejadian buruk hanya menimpa keatas orang lain, tidak pada diri sendiri. Kerana itulah mereka lakukan apa yang mereka suka lakukan. Tanpa memikirkan apa risiko yang bakal di hadapi. Orang-orang sebegini yang sepatutnya di tahan tanpa bicara.