Selasa, 20 Oktober 2009

Seloka tentang Melayu

Secara kebetulan saya bertemu dengan seseorang. Namanya Abdul Samat Kimin berasal dari Singapura. Saya panggil Pak Samat sahaja. Pertemuan di kedai kopi itu rupanya menyerlahkan ketokohan Pak Samat sebagai seorang pengamal sastera Melayu tradisi. Beliau bijak berpantun, bergurindam dan berseloka. Saya sempat mencatat sebuah selokanya yang menarik tentang Melayu.

‘Orang Melayu’.

Orang Melayu tak inginkan untung
orang asing kepenuhan kantung
orang Melayu dua puluh empat jam memukul kentung
beriman kuat, tanpa akal untuk mengira
untuk menghitung
hanya akhirat dunia kena kelentong
orang asing meraih untung
Kelentung! Kelentung!
bawah tempurung si katak bentung
hidup mati kepada orang asing terus bergantung
kerana berabad-abad lama mengamal hidupnya sotong
emas saduran berpeti-peti, bertong-tong

ii
Tenung-tenung makrifat
imiliahnya memang tepat
kaum bumiputera kelas empat
andai di negeri sendiri setinggan merempat
memang nyata bukan menghina bukan mengupat
mengapa kaum lain tersedia tempat.

Melayu malu
Melayu malas
Melayu menadah-nadah
menunggu emas turun dari langit
akhirnya yang ditunggu-tunggu
umbat di dalam batu

Menari bersajak Cik Tahir
tari di sambut oleh Pak Sabtu
Pendekar Tahir satu ibunya
mencari jejak di dalam air
mencari umbut di dalam batu
membakar air ambil abunya

iii
Beratnya tikaman Melayu
bengkok melanggar syarak
nyah pepas (mata kail) mesti di parak (pisah)
rasa-rasa ke tandas tak bisa berak
andai berdiri najis berserak
nyata hampa kalah sabung menang sorak
yang anehnya sang labi-labi
ketinggalan ratusan kilometer jauhnya jarak
andai kata di takuk lama tak bergerak.

2 komentar:

Citra Delima mengatakan...

Tuan Haji,
Sedap apabila membaca seloka yang dipaparkan. Yang lebih sedap lagi ada nama saya diselitkan dalam seloknya. Terkenal lah nama saya sekarang ini , He....He hee..

Melihat Kesunyataan mengatakan...

Haji Tahir,
Saya pun tak tahu macam mana timbul nama Cik Tahir yang kebetulan boleh menari dan bersajak. Agaknya tentu kawan baik Pak Samat.