Kamis, 19 Februari 2009

Antara Anak dan Bahasa

Saya begitu bersimpati dengan ucapan Bung Moktar (BN-Kinabatangan) dan Datuk Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) yang menghangatkan Persidangan Dewan Rakyat semalam, apabila menyentuh tentang isu PPSMI. Kedua-duanya berpendapat PPSMI perlu diteruskan kerana boleh membantu penguasaan bahasa Inggeris. Pentingnya PPSMI bukan kerana bahasa Inggeris tetapi kerana ilmu. Saya tahu jika ditanya kepada mereka berdua, apakah mereka tidak sayangkan bahsa Melayu? Sudah tentu mereka melenting dengan menyatakan bahawa menyokong PPSMI bukan bermakna mereka tidak sayangkan bahasa Melayu.

Inilah hujjah mereka.Samalah seperti kalau kita mempersoalkan kepada ibubapa kita yang tidak sayangkan anak-anak mereka. Ramai ibu bapa yang akan marah jika kita nyatakan bahawa mereka tidak sayangkan anak. ‘Siapa kata aku tidak sayangkan anak? Tengoklah, jentik pun aku tak pernah. Apa keperluannya semuanya aku tunaikan. Aku dah sekolahlah dia, keperluan buku, yuran semuanya telah menjadi tanggungjawabku. Apa lagi.’ Begitulah ukuran ‘sayang anak’ bagi kebanyakan ibu bapa. Setakat memberi makan pakai, dan persekolahannya, setakat menyatakan bahawa mereka tidak pernah menjentik anaknya, apakah itu sudah dikatakan sudah menunaikan tanggungjawab sebagai ibu bapa. Sudah dikatakan sayangkan anak?

Ramai orang Melayu menyatakan bahawa mereka sayangkan bahasa Melayu. Siapa kata aku tidak sayangkan bahasa Melayu? Tengok, aku bercakap Melayu. Aku hantar anak aku ke sekolah Melayu. (Walaupun sekarang ramai orang Melayu menghantar anaknya ke sekolah Cina). Aku beli akhbar berbahasa Melayu. Apakah aku tidak sayangkan bahasa Melayu? Begitulah ukuran ‘sayang bahasa’ itu bagi kebanyakan orang Melayu. Apakah dengan hanya bercakap Melayu, membaca akhbar Melayu sudah bermakna kita sayangkan bahasa Melayu?

Bagi mereka yang sayangkan anak pula, bukan bermakna bila kita dapat memenuhi segala keperluan si anak maka itu sudah boleh dikatakan sayangkan anak, tetapi lebih jauh daripada itu, seharusnya mereka dapat membentuk anak-anak menjadi anak-anak yang soleh dan berilmu, tahu menghormati ibu bapa dan orang lain juga. Begitu juga bagi mereka yang sayangkan bahasa Melayu seharusnya bukan semata-mata dengan menggunakannya dalam percakapan harian sahaja, tetapi juga dapat memastikan kita menambahkan ilmu dan berfkir dengan menggunakan bahasa Melayu. Pastikan juga bahasa kita akan dapat terus maju sehingga menjadi salah satu bahasa penting dunia, sama taraf dengan bahasa Inggeris, Perancis, Cina dan Arab.

Bagaimanakah caranya? Di sinilah kita selalu keliru dan sentiasa tersilap. Sebagai seorang Melayu kita seharusnya belajar apa juga bahasa, selepas itu tulislah dalam bahasa Melayu. Kita belajar dan menjadi pakar matematik, mengapa kita tidak menulis dalam bahasa Melayu. Kita belajar dan menjadi pakar sains, mengapa kita tidak mahu menulis dalam bahasa Melayu. Inilah kelemahan orang kita Melayu. Sikap malas masih menguasai orang Melayu. Kalau ada pun pakar yang boleh menulis, mereka hanya boleh menulis dalam bahasa Inggeris, kerana bagi mereka menulis dalam bahasa Melayu tidak ada kualiti, tidak educated. Jadi sampai bilakah bahasa Melayu akan maju?

3 komentar:

Azhar Salleh mengatakan...

Salam TUAN HAJI,
Isu tentang bahasa Melayu semakin kritikal dari hari ke hari kerana bangsa Melayu, khususnya para pemimpin yang terlebih sudu daripada kuah ini terlalu banyak. Mereka ingin dikatakan maju, moden, berani melakukan pembaharuan, berfikiran jauh ke hadapan, dan pelbagai pujian lagi, dengan harapan dengan cara itu mereka kelihatan lebih bijak! Sayangnya, mereka sebenarnya golongan yang sangat bodoh! Bukankah bangsa yang menggadai maruah bahasanya orang yang bodoh lagi bengap!
Tak begitu, tuan haji?

Sham al-Johori mengatakan...

Kanda,
Saya nak cadangkan aja supaya;
1. bangsa melayu digantikan kpd bangsa inggeris,
2. nama malaysia diganti kpd Malays
3. bahasa melayu diganti kpd bahasa inggeris
4. apa-apa yang ada berkaitan dgn bahasa melayu digantikan kpd bahasa inggeris.
Kemudiannya, barulah kita dapat maju dan hebat.
Knp nak melayan nafsu UMNO serakah tu. Bukankah juga dgn menukarkan nama Melayu itu, bangsa kita boleh mendapat pengiktirafan setanding barat dan eropah? Itulah yang UMNO inginkan. Tapi, betulkah jika kita dapat menguasai BI, orang eropah akan menerima kita?

Melihat Kesunyataan mengatakan...

Sdr., Azhar dan Sham,
Memang kita berasa hairan bagaimana orang-orang Melayu sendiri tidak faham tentang perjuangan orang bahasa. Malah menuduh kita sebagai anti kemajuan bila menolak PPSMI.