Kisah ini bermula ketika saya menghubungi beberapa orang teman lama untuk menyampaikan berita sedih tentang kematian Othman Dahlan. Allahyarham meninggal akibat barah paru-paru. Muhamad Haji Ibrahim (Kini sudah haji juga) dari Kuala Lumpur dan Sulaiman Omar dari Melaka bergegas ke Batu Pahat, ke rumah Allahyarham. Dalam pertemuan inilah mereka sempat mengenang kembali aruah semasa masih bujang, ketika bertugas di Sekolah Kebangsaan Felda Sungai Sayong pada tahun 70-an dulu. Saya, Haji Muhammad Ibrahim, Sulaiman Omar, Othman Dahlan dan Ustz. Ali Tamsir pernah tinggal di rumah bujang, rumah Guru Felda Sungai Sayong. Kami dah macam adik beradik. Masa tu susah betul, letrik belum ada lagi. Kami terpaksa guna pelita sahaja apabila tiba pada waktu malam. Saya sendiri pada mulanya tidak pandai masak, terpaksa belajar masak daripada Muhamad Ibrahim. Muhamad Ibrahim ni memang pandai masak. Macam-macam resipi dia tahu. Saya pula kadang-kadang terpaksa merujuk kepada buku resepi memasak. Saya masih ingat pada bulan puasa bila tiba giliran masak saya pernah mencuba satu resepi baru, iaitu masak goreng ikan bungkus daun ubi. Saya terlupa mencelur daun ubi gadong itu dulu, sebelum membungkus ikan kembong malah terus celur dalam telor dada dan digoreng. Memang sedap, tapi lepas berbuka puasa kesemua kami yang makan itu, tak sadar kerana mabuk hingga tertidur sehingga mencecah tengah malam baru sedar. Tanpa pasang pelita pula. Apa lagi terlepas sembahyang trawikh. Banyaklah lagi peristiwa yang tidak dapat kami lupakan. Bergaduh, bermasam muka kemudian berbaik kembali adalah perkara biasa bagi kami. Misalnya untuk mempastikan prestasi sukan badminton sekolah kami meningkat, kami semua guru sanggup mendermakan 10 ringgit setiap bulan selama setahun semata-mata untuk membina gelanggang badminton. Kami juga terpaksa mengangkut sendiri pasir dari sebuah sungai di ladang kelapa sawit dan bergotongroyong membinanya. Untuk memastikan prestasi pelajar meningkat dalam peperiksaan UPSR kami sendiri sanggup mengadakan kelas tambahan pada setiap malam, tanpa imbuhan. Kami mengutip yuran dari pelajar hanya untuk membayar kos membeli lampu gasolin dan minyaknya sahaja.
Satu hal yang menarik di gugusan felda ini terdapat empat buah sekolah kebangsaan yang berhampiran. Atas inisiati Guru Besar sekolah- sekolah ini, mereka telah membentuk satu badan gabungan sukan, yang diberi nama PESTA (Pesta Empat Buah Sukan Taib Andak), kemudian menjadi PETIS (Pesta Tiga Buah Sukan Taib Andak) apabila sekolah Kebangsaan Bukit Besar menarik diri kerana beberapa masalah teknikal. Sukan atau Pesta Sukan sekolah-sekolah Gugusan Taib Andak ini bukan untuk pelajar sahaja, malah antara guru-guru pun terlibat. Saya yang tidak tahu bersukan pun terpaksa turun padang, berlatih bola sepak, pingpong dan badminton. Terdapat juga pertandingan dalam (indoor game) seperti catur dan karem. Bila diwujudkan sukan mengikut zon barulah PETIS ini dibubarkan.
Pada tahun 1977 saya berpindah mengajar di Sekolah Menengah Sultan Ibrahim Kulai. Pada masa itu juga Othman Dahlan sudah berkahwin dan tinggal bersama isterinya juga seorang guru di rumah sewa (Rumah peneroka). Sulaiman Omar berulang alik ke Johor Bahru, kerana isterinya bekerja di sana. Ustaz Ali Tamsir juga sudah berpindah ke Melaka setelah bertemu jodoh dengan orang Melaka.
Kami sempat mengenang kembali teman-teman yang lain seperti Omar Farouk Ibrahim Ghaney, Sharif Ghani, Aziz Ariffin, Guru Besar Hamzah Ariffin, Cikgu Salam, Ahmad Rafie , Cikgu Normah, Cikgu Habshah Othman, Cikgu Ismail Maasum, Cikgu Ishak Hj. Nor dan Cikgu Sapuan.
Kini setelah 33 tahun Haji Muhamad Ibrahim merasa terpanggil untuk mengumpulkan kembali teman-teman, bekas Guru Sekolah Sungai Sayong itu. Berkat usahanya dia berjaya menjejaki kembali beberapa orang teman seperti Omar Farouk yang kini berada di Perlis, Cikgu Salam dan Ahmad Rafie di Kelantan, Ustz. Ali Tamsir dan Sapuan Munip di Melaka, Aziz Ariffin, Sharif Ghani dan Guru Besar di Bandar Tenggara, Johor.
Dia mencadangkan agar satu pertemuan kembali (reunion) akan diadakan pada 9 Mei ini di Melaka, di sebuah pusat peranginan di Tanjung Klebang. Saya juga telah menyatakan persetujuan untuk menjayakannya dan berjanji akan menghubungi beberapa orang lagi teman bekas guru Sekolah Kebangsaan Sungai Sayong, seperti Cikgu Khair Affendi dan Kamariah (suami-isteri) kini berada di Mersing, Khadijah dan Wahid (suami-isteri)kini di Felda Air Tawar 4, Kota Tinggi. Mereka bertemu jodoh semasa mengajar di Sayong. Saya dan isteri juga bertemu jodoh semasa mengajar di Sekolah tersebut. Memang banyak kenangan di sana. Saya rasa ada tujuh pasangan guru yang bertemu jodoh semasa mengajar di Sekolah Kebangsaan Sayong ini.
2 komentar:
cikgu khadijah bekas guru kelas saya masa tahun 1, 1976...
cikgu omar farouk & cikgu normah tu parents saya.... ayah sekarang di perlis, mak di ipoh.... kalau nak hubungi mereka, boleh hubungi saya melalui email....
Posting Komentar