Jumat, 27 Februari 2009

Di Bawah Tikaman garpu


Karya terakhir Shaharom Husain yang berjudul Di Bawah Tikaman Garpu menumpukan kepada penceritaan perjuangan orang-orang Melayu, terutama tokoh-tokoh pejuang kebangsaan dalam kemelut mempertahankan hak orang- orang Melayu. Salah satu peristiwa yang disentuh ialah bagaimana perhimpunan menentang Malayan Union yang diadakan pada 28 Mei 1946. Penduduk kampung berhampiran keluar beramai-ramai sehingga mencecah 18,000- 20,000 orang. Mereka berpakaian lengkap bersamping, bertanjak dan berkeris. Ada yang berseluar pendek dengan sebilah parang. Ada yang berseluar kemeja bertampal-tampal dengan mengepit sebilah parang panjang berbungkus upih. Ada yang berpakaian kebangsaan serba hitam, bersamping hitam, berselepang merah dan kuning. Mereka juga membawa sepanduk dengan tulisan ‘Malayan Union Musuh Kita’, ‘Malaya Hak Kita’, ‘Johor Negeri Melayu’, ‘Hidup Melayu’ dan lain- lain. Mereka berbaris di hadapan pegawai-pegawai tadbir Inggeris seperti Rees William dan L.D Gaman serta T.S. Adams. Mereka juga terus berarak sepanjang-panjang Jalan Sultanah Aminah ke Bandar Penggaram Batu Pahat, berbelok ke Jalan Shahbandar dan terus ke Jalan Rahmat dan balik semula ke Padang Bandaran Batu Pahat. Semasa perarakan diadakan, semua kedai dan pejabat bertutup rapat, termasuk kedai dan rumah tumpangan tauke-tauke dari Kampung Peserai.
Selepas itu tunjuk perasaan diadakan di Johor Bahru, Kelantan, Kedah dan Selangor.
Betapa semangat perpaduan Melayu ketika itu akhirnya berjaya menumbangkan ‘Malayan Union’.

4 komentar:

MARSLI N.O mengatakan...

Pak Shahrom membuktikan penulis adalah perakam yang rajin dan tekun.

ABDUL LATIP mengatakan...

Begitu hebatnya semangat orang-orang Melayu ketika menentang Malayan Union. Di Johor sahaja orang ramai keluar sehingga mencecah 18,000 orang. Di negeri lain juga tidak kurang hebatnya. Antara tenaga penggerak menentang Malayan Union ketika itu ialah Dato' Onn Jaafar.

Tetapi Malayan Union yang ditentang oleh orang Melayu ketika itu akhirnya berjaya juga dilaksanakan oleh British dengan menggunakan tipu helahnya memujuk pemimpin-pemimpin Melayu ketika itu apabila menuntut kemerdekaan Tanah Melayu.

Contohnya, di bawah Malayan Union, orang asing boleh diberikan taraf kerakyatan berdasarkan prinsip jus soli (boleh menjadi rakyat Malaya jika mereka lahir di tanah Melayu). Itu perkara utama yang ditentang oleh orang Melayu ketika itu.

Tetapi apa yang terjadi selepas itu?. Mereka tetap juga mendapat kerakyatan.

Kenapa terjadi begitu?. Orang Melayu ini taat kepada ketua. Bila ketua kata setuju maka semua akhirnya setuju. Semangat cuma tinggal semangat.

Sejarah sudah berlalu dan kita tidak boleh berpatah semula ke belakang. Cuma kita bimbang jika pemimpin kita terus bertolak ansur akhirnya tidak ada apa-apa lagi yang boleh dibanggakan oleh orang Melayu jika bahasa sendiri tidak dapat dipertahankan.

Azhar Salleh mengatakan...

Salam TUAN HAJI,
Semangat perjuangan orang Melayu pada ketika itu menebal dengan suara dan jiwa jihad. Perjuangan individu untuk bangsa. Perjuangan bangsa untuk negara. Dan perjuangan negara kerana agama. Sekarang, pemimpin Melayu berjuang untuk apa? Bagaimana hendak mempertahankan bangsa jika soal bahasa pun masih hilang punca dan hilang warasnya! Sama-samalah kita fikirkan...dan akhirnya, lakukan tindak sehabis bijak!

Melihat Kesunyataan mengatakan...

Sdr., Marsli N.O., Abdul Latip & Azhar Salleh,
Apa yang menarik dalam buku tersebut ialah peranan 'demonstrasi jalanan',ketika itu yang berjaya menumbangkan 'Malayan Union'. Bawa senjata pula tu. Hari ini tentu tidak sesuai.